suria

Roti Canai Empuk, Kebab Daging Rusa Antara Tarikan Di Kampung Baru

Para pelanggan mendapatkan kebab daripada suami Fariza, Asri Yazid, 45, (dua, kanan)), 45, di bazar Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto IZZRAFIQ ALIAS / THE STAR

KUALA LUMPUR: Kampung Baru di sini membariskan banyak gerai bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis makanan kepada orang ramai untuk juadah berbuka puasa.

Di sepanjang Jalan Raja Muda Musa, kesemua ditawarkan kepada orang ramai termasuk makanan tradisional.

Peniaga, Mohd Mazli Mandasin, 39, berkata, resepi gulai tempoyak ikan patinnya diperoleh daripada bapa saudaranya yang memiliki sebuah restoran di Shah Alam dengan menjual makanan tradisonal negeri Pahang.

"Saya menggunakan ikan segar dari kolam ternakan ikan di sungai Temerloh. Rasanya lebih enak berbanding yang di ternakan ikan di tasik-tasik," katanya.

Mazli berkata, tidak terkejut sekiranya kebanyakan pelanggannya yang datang dari Pahang kerana mahu mendapatkan kesegaran ikan patinnya.

Seorang lagi peniaga, Shukri Husin turut memperkenalkan resepi keluarganya.

Shukri, 24, menjual roti tempayan, roti canai yang lebih tebal dan empuk.

Jelasnya, roti tempatan itu dimakan dengan sos kacang tanah, yang seperti sos sate.

"Resipi ini daripada arwah bapa saudara saya. Dia berasal dari Pattaya di Thailand dan roti yang saya jual ini yang disukai oleh penduduk di Pattaya," tambahnya.

Peniaga, Fariza Yeop Dris pula memilih untuk melakukan kelainan pada hidangan kebabnya dengan menggunakan daging rusa, berbanding daging lembu, kambing dan ayam seperti kebiasaannya.

Beliau berkata, daging itu dibawa dari pusat ternakan rusa di Sungai Siput.

"Pelanggan-pelanggan menyukai rasa daging rusa dan kebab-kebab saya sentiasa habis dijual," katanya.

Artikel Lain