suria

Enggan Guna Meter, Pemandu Teksi Dicekup

Anggota penguat kuasa SPAD menahan seorang pemandu teksi yang enggan menggunakan meter di Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Keengganan seorang pemandu teksi menggunakan meter ketika membawa penumpang membawa pulangan setimpal apabila dia ditahan penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi pada Isnin.

Lelaki berusia 46 tahun dari Kampung Pandan itu ditahan dalam satu operasi bersepadu SPAD dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras pemandu teksi tidak bertanggungjawab atau Ops Tegas.

Bagi operasi penyamaran, ia dikendalikan oleh 17 pasukan yang terdiri daripada 34 anggota penguat kuasa SPAD, turut disertai oleh wartawan mStar Online yang menyamar sebagai penumpang teksi.

Bersama dua anggota penguat kuasa, mStar Online menaiki sebuah teksi dari pusat membeli-belah Berjaya Times Square di Jalan Imbi ke Mid Valley Megamall di Lingkaran Syed Putra.

Pemandu teksi berkenaan pada awalnya keberatan untuk mengambil penumpang apabila diberitahu destinasi yang dituju tetapi kemudiannya cuba menetapkan tambang sebanyak RM25 tanpa menggunakan meter.

Namun sebenarnya tambang bagi perjalanan yang sama adalah lebih kurang RM10.

Menurut salah seorang penguat kuasa, operasi yang bermula pukul 4 petang itu melibatkan lapan lokasi di sekitar ibu negara.

Katanya, antara lokasi tersebut ialah di sekitar KLCC, Bukit Bintang, Berjaya Times Square, Pasar Seni, Kota Raya dan Sogo.

"Sebanyak 17 pasukan menjalankan operasi di mana setiap pasukan terdiri daripada dua pegawai penguat kuasa SPAD.

"Operasi bersepadu ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields," katanya.

Beliau berkata, operasi diadakan bermula pada pukul 4 petang berikutan ia merupakan waktu puncak orang ramai pulang daripada berkerja.

Tambahnya, waktu ini juga sering dijadikan peluang buat pemandu teksi untuk mengambil kesempatan terhadap pelanggan terutama mengenakan kadar tambang melampau.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi adalah tidak menggunakan meter dan tidak mempunyai permit untuk memandu teksi," katanya.

Pemandu teksi yang ditahan itu berkata, "saya tidak memandu teksi sepenuh masa kerana ia turut digunakan oleh anak saudara saya sebagai pemandu kedua," katanya.

Ditanya mengenai kesalahan yang dilakukannya, dia berkata: "Saya mengaku saya buat salah, tetapi hendak buat macam mana, saya kadang-kadang memang tak pakai meter kalau tempat yang nak pergi itu ada kesesakan trafik," katanya.

SPAD, Teksi

Artikel Berikut

Artikel Lain