suria

Mayat Model Estonia Akan Dikebumi Di Malaysia

Regina Soosalu
JOHOR BAHRU: Mayat model sambilan Estonia Regina Soosalu yang ditemui di pantai Pulau Rawa 1 Julai lalu akan dikebumikan di Malaysia.

Keluarganya membuat keputusan untuk membenarkan rakan-rakannya di Asia memberi penghormatan terakhir kepada Soosalu sebelum pengebumian yang dijangka akan diadakan pada minggu ini atau minggu depan.

Seorang ahli keluarga terdekat yang enggan namanya disiarkan berkata mereka masih tidak pasti bila pengebumian itu akan dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, upacara pengebumian hanya akan diadakan selepas Khamis.

"Kami membuat keputusan untuk tidak membawa jenazah balik ke Estonia kerana ia adalah mahal dan kami bukanlah dari golongan mewah," katanya melalui e-mel, Isnin.

Satu laporan sebelum ini, memetik konsul kehormat Estonia ke Malaysia Datuk Harbans Singh, sebagai berkata sebuah syarikat penerbangan asing meminta sehingga RM120,000 untuk membawa pulang mayat model ini ke tanah airnya.

"Sudah dua minggu sejak dia meninggal dunia dan kami hanya ingin menjalankan upacara itu secepat mungkin dan berada di sisinya," kata saudaranya itu, sambil menambah keluarganya masih belum membuat keputusan sama ada untuk menjalankan pengebumian di Kuala Lumpur atau Johor Baru.

Rakan-rakan keluarganya dan seorang pegawai Estonia di Malaysia telah membantu menyusun rancangan perjalanan dan dana untuk ahli keluarga yang mahu datang ke Malaysia.

"Kami adalah sebuah keluarga yang rapat dan ini telah menjadi satu tempoh cubaan untuk kami," kata ahli keluarganya, sambil menambah mereka amat tersentuh dengan sokongan yang diberikan kepada mereka.

"Kami ucapkan terima kasih, dari hati kami yang paling dalam. Dia adalah seorang yang manis, mesra dan penyayang," katanya.

Keluarga dan rakan-rakannya telah memuat naik pelbagai gambar zaman kanak-kanak dan remajanya di halaman Facebook khas.

Halaman, “In loving memory of Regina Soosalu 7/Dec/1984-1/July/2014” telah menerima lebih 2,100 'like' dengan ratusan mesej takziah dan 'post' lain yang dimuat naik oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asst Komisioner Datuk Hasnan Hassan berkata mereka tidak menetapkan sebarang tarikh untuk menyerahkan mayat Soosalu kepada keluarganya kerana siasatan kematiannya masih berjalan.

Para pegawai pada mulanya menyangka model berkenaan yang bercuti di pulau itu pada masa yang mayatnya ditemui, telah mati lemas.

Walau bagaimanapun, ia menjadi kes bunuh apabila penyiasat menemui "luka yang mencurigakan" di badannya.

Tujuh lelaki termasuk teman lelakinya, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim, kemudiannya disoal siasat atas kematian Soosalu.

Pada Selasa, polis berkata dua daripada lelaki yang ditahan telah dibebaskan tetapi difahamkan seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan kerabat kekal dalam tahanan polis.
model Estonia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain