"Kita perlu kaji, teliti sebarang arahan tembak, sebarang arahan SOP yang kita keluarkan untuk beri kebenaran menembak.
"Ini kerana kita tahu laluan itu digunakan bukan sahaja penjenayah tetapi juga digunakan pedagang tukar barang dan orang-orang kampung," katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri di Masjid Al Mujahiddin, Kompleks Perumahan Polis, Tabuan Jaya, di sini.
Khalid berkata justeru itu kajian SOP yang sesuai yang akan dikeluarkan kepada petugas keselamatan yang bertugas di perairan tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu.
Sementara itu ketika diminta mengulas status terkini anggota polis Marin, Konstabel Zakia Aliep, Khalid berkata pihaknya mempunyai maklumat namun beliau enggan mengulas lanjut.
"Memang kita ada buat perhubungan dengan kumpulan penjenayah, kumpulan penculik itu, tetapi eloklah kita tidak membincangkan secara terbuka di sini demi keselamatan mangsa," katanya.
Zakia, 26 diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata dalam serangan hendap di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Sabtu lepas yang turut mengorbankan rakan setugas, Koperal Ab Rajah Jamuan.