suria

Suami Isteri Kekal Cara Tradisi Sediakan Tapai Pulut

KULIM: Biarpun banyak pihak mencipta pelbagai cara baharu menyediakan makanan tradisi tapai pulut, namun bagi Ismail Osman dan isterinya, Latifah Ahmad mereka masih mahu mengekalkan cara yang diwarisi lebih 20 tahun lalu.

Ismail, 61, dan Latifah, 59, yang menetap di Taman Jati di sini, menggunakan ragi terpilih yang dibeli daripada seorang pembuat ragi di Pekan Tikam Batu, Sungai Petani pada harga 25 sen satu iaitu berukuran separuh bola ping pong. 

"Kami juga masih mengekalkan menggunakan daun getah sebagai pembalut tapai dan kami jual dengan harga 40 sen sebungkus," kata Ismail yang ditemui ketika menjual makanan tradisional itu di Bazar Ramadan Kulim di sini baru-baru ini.

Ismail berkata penyediaan seperti beras pulut dan perkakasan lain dilakukan oleh isterinya yang mewarisi cara penyediaan tapai pulut itu daripada neneknya di Kampung Gajah Mati, Pendang yang dikatakan pakar dalam penyediaan makanan pencuci mulut itu.

Ismail yang dikenali dengan gelaran 'Ismail Tapai' pada mulanya berniaga pelbagai kuih-muih semasa menetap di Kubang Semang, Seberang Perai, sebaik berhenti daripada kerja kilang pada 1988, sebelum beralih menjual tapai.

"Saya menjual tapai pulut yang dibuat oleh seorang jiran dan mendapati makanan tersebut laris dijual dan mula tertarik untuk membuat sendiri lalu menyatakan hasrat itu kepada isteri saya. 

"Entah secara kebetulan ataupun mungkin punca rezeki keluarga saya agaknya, isteri saya yang tidak pernah membuat tapai itu telah cuba membuatnya, dan didapati manis dan sedap," katanya.

Bertitik tolak daripada percubaan itu, kini Ismail berniaga tapai pulut resipi tradisional itu di pasar-pasar malam sekitar bandar ini enam hari seminggu.

"Setiap hari kami menyediakan antara 350 hingga 400 bungkus tapai pulut ini untuk dijaja dengan menggunakan motosikal ke setiap pasar malam dan jika pada bulan Ramadan saya menjual setiap hari di Bazar Ramadan Kulim sejak 10 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Latifah berkata melalui pengalamannya selama ini, untuk menghasilkan tapai yang baik, beras pulut perlu disimpan agak lama dan berwarna sedikit kemerahan serta ragi yang baik.

"Itu sahaja cara yang telah saya lakukan sejak 20 tahun lepas. Untuk menyegerakan tempoh 'masak' tapai saya membalut tapai yang saya sediakan dengan daun getah. Dalam tempoh 24 jam sahaja tapai yang diperam itu sudah boleh dimakan," katanya.

Katanya selain daun getah ada juga pembuat tapai pulut menggunakan daun pisang rambai dan ketapang tetapi daun getah lebih tahan lama dan lambat layu serta lambat bertukar warna.

Latifah berkata bilangan tapai pulut yang disediakan kadang-kadang bergantung kepada permintaan atau pesanan pelanggan tetapi untuk dijual setiap hari, dia menyediakan antara 15 hingga 20 kilogram beras pulut sehari.

Mereka yang berminat untuk membuat sebarang tempahan bagi majlis kenduri, jamuan Hari Raya dan majlis perjumpaan boleh menelefon Latifah melalui talian 011-22175730.

tapai pulut daun getah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain