suria

GST: Negara Luar Kongsi Pengalaman September Ini

PEKAN: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan menjemput wakil negara yang telah melaksanakan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk berkongsi pengalaman mereka dalam seminar pada September ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi menerangkan dengan lebih jelas kepada rakyat di negara ini tentang manfaat yang diperoleh di sebalik pelaksanaan GST pada April tahun depan.

"Sebelum ini saya telah merasmikan satu seminar yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia, kita telah jemput (wakil) dua negara iaitu Singapura serta United Kingdom untuk menceritakan pengalaman mereka.

"Pada bulan September nanti, kita akan jemput lebih banyak negara untuk memberikan penerangan dan ini amat baik untuk pengalaman kita," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anak-anak yatim dan warga emas bersama-sama Timbalan Menteri Kewangan di sini semalam.

Beliau berkata, pihak yang berkaitan termasuk wakil badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi juga akan dijemput menghadiri seminar itu.

Ahmad berkata, kerajaan dijangka memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam tahun pertama pelaksanaan GST.

"Pada tahun kedua pula, kerajaan jangka akan memperoleh pendapatan tambahan antara RM7 bilion hingga RM8 bilion dan ini semua akan beri manfaat kepada rakyat terutama penduduk luar bandar sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan tambahan itu, kerajaan dapat melaksanakan lebih banyak pembangunan terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman seluruh negara yang masih belum menerima kemudahan asas yang mencukupi.

Cukai tunggal GST pada kadar 6 peratus akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus dan ia akan berkuat kuasa April tahun depan.

GST, ISIS

Artikel Lain