suria

Kerajaan Beri Jaminan Bela Nasib Mangsa, Keluarga MH17

Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan menuntut keadilan terhadap nasib malang yang menimpa mangsa dan keluarga mangsa terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembelaan itu termasuk melakukan siasatan menyeluruh dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa. 

"Perdana Menteri sudahpun memberi jaminan kepada keluarga mangsa yang berada dalam keadaan cemas sekarang untuk membantu mereka.

"Ketika ini kerajaan telah menghantar satu pesawat dalam tempoh singkat ke sana bagi mempercepatkan siasatan terhadap insiden tersebut", katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian sumbangan oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad (MPB) bernilai RM315,000. 

Sumbangan disampaikan Presiden yayasan itu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas kepada Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Ahmad A Talib, yang turut dihadiri pengerusi MPB Tan Sri Johan Jaafar.

MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine, dipercayai ditembak.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
MH17, MAS, keluarga mangsa

Artikel Lain