BERCUTI di luar negara pada bulan Ramadan pasti memberi pengalaman berbeza jika dibandingkan dengan percutian pada bulan-bulan biasa. Sama ada percutian itu dirancang dan dilakukan dengan rela hati atau terpaksa atas faktor tertentu, apa yang pasti berada di negara asing ketika bulan penuh barakah menjanjikan pengalaman berharga yang tidak akan diperolehi di mana-mana melainkan seseorang itu merasainya sendiri. Penjaga gawang Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih popular dengan gelaran Apek merupakan salah seorang daripada insan yang bercuti dan menyambut Ramadan di negara orang pada tahun ini. Apek yang memilih percutian di Eropah bersama isterinya, Leuniey Natasha dan anaknya, Kayla Elayna, bagaimanapun bukanlah sengaja memilih bulan Ramadan untuk melihat keunikan negara orang. "Sebagai pemain bola sepak saya susah untuk mendapat cuti atau pelepasan. "Saya telah lama menantikan diberi cuti panjang dan kebetulan cuti yang diberikan jurulatih jatuh pada awal Ramadan. Disebabkan saya tidak tahu bila lagi akan dapat peluang bercuti panjang, saya buat keputusan untuk bawa juga keluarga saya bercuti walaupun pada bulan puasa," katanya. Apek yang menyambut Ramadan selama 10 hari di Milan dan Rome berkata pengalaman berpuasa di tempat orang sambil bercuti sememangnya mencabar. Katanya, menyambut Ramadan di luar negara bukanlah perkara baharu bagi dirinya yang adakalanya perlu menjalani latihan di luar negara pada tahun-tahun sebelum ini, tetapi pengalaman berada di luar negara pada Ramadan kali ini nyata berbeza kerana ia merupakan percutian keluarga dan dirancang rapi. "Saya dan isteri berbuka hampir pukul 10 malam. Waktu itulah kami berbuka dan waktu itu jugalah kami bersahur. "Kami berbuka ala kadar sahaja. Kadang-kadang makan di restoran, ada juga masanya kami makan di bilik hotel sahaja. Kami hanya makan pasta atau pizza kerana tidak banyak pilihan makanan halal," katanya sambil mengakui merindui juadah berbuka dan suasana Ramadan di Malaysia. Pasta menjadi juadah berbuka Apek dan isteri ketika bercuti di Eropah. Menurut Apek, walaupun berpuasa dia sekeluarga tetap keluar berjalan-jalan sambil melawat tempat-tempat menarik di sana. Namun, dia mengaku tidak mendapat nikmat percutian sepenuhnya kerana tidak dapat mencuba sesetengah makanan yang dijual pada waktu siang. Malah, dia dan isteri terpaksa membatalkan beberapa rancangan lawatan pada saat-saat akhir kerana keletihan dan cuaca yang panas. "Memang mencabar mental dan fizikal. Sudahlah penat, kami terpaksa menjamu mata melihat makanan-makanan di sana yang nampak sedap-sedap belaka seperti ais krimnya yang beraneka jenis dan warna. "Tak apalah, yang penting saya dapat bercuti bersama keluarga dan saya anggap ini sebagai satu pengalaman berharga," katanya yang akan berhari raya di Kelantan pada tahun ini. Artis Betty Rahmad pula mempunyai cerita dan pengalamannya sendiri. Katanya, awal Ramadan lalu dia terpaksa terbang ke Bangkok bersama kakaknya, Erma Fatima dan seorang lagi saudaranya untuk membeli barang-barang yang akan dijual di sini. "Kami sudah tiada masa lain yang sesuai. Masing-masing sibuk dengan shooting dan hal-hal lain. "Kami cuba elak untuk ke sana pada bulan puasa tetapi malangnya kami hanya lapang pada bulan puasa. Kami tiada pilihan," katanya. Betty berkata, walaupun tidak semeriah sambutan di negara sendiri, sekurang-kurangnya percutian sambil berkerja itu memberikan satu pengalaman baharu buat dirinya. Betty memilih masakan Thailand setiap kali tiba waktu berbuka. Sepanjang lima hari berada di Bangkok, dia mengakui rindukan suasana Ramadan di Malaysia yang mana majoriti masyarakatnya berpuasa dan Ramadan disambut penuh meriah. "Tetapi saya bernasib baik kerana saya memang 'enjoy' membeli-belah di Bangkok, jadi tidaklah rasa bosan atau letih sangat. "Lagipun waktu dan tempoh berpuasa di sana hampir sama dengan Malaysia, bezanya di sana orang sekeliling kita tak puasa dan tak ada bazar Ramadan macam di tempat kita," katanya yang memilih masakan Thai sebagai juadah berbuka. Ditanya jika dia akan merancang percutian di luar negara pada Ramadan akan datang dia berkata: "Tidak. Seboleh-bolehnya saya akan elakkan, melainkan keadaan benar-benar memaksa," katanya. Bagi Izwani Rahman, terbang ke luar negara tidak mampu dielakkan kerana dia terpaksa mengikut suaminya, Barry Rahman Sim yang ditugaskan berkerja di The Hague, Belanda selama dua minggu pada bulan Ramadan sebelum terbang ke rumah mertuanya di Scotland. Ketika di Belanda dan Scotland, pasangan suami isteri yang baharu dikurniakan cahaya mata ini terpaksa berpuasa dalam tempoh yang panjang. "Di Belanda waktu berbukanya kira-kira pukul 9.30 malam, begitu juga di Scotland. "Nasib baik saya masih menyusukan bayi, jadi di sana saya berpuasa secara selang-seli. Wanie (dua, kanan) bersama suaminya (kanan) berbuka puasa sambil ditemani rakan di Scotland. Dia berkata, bercuti di luar negara sambil berpuasa memang amat mencabar dan memberi pengalaman luar biasa tetapi dia tetap keluar berjalan-jalan bersama anak perempuannya yang berusia tiga bulan apabila suaminya bertugas. "Rugi pula kalau bercuti tetapi hanya terperap di bilik hotel," katanya yang sebelum ini pernah menyambut Ramadan di Australia dan Amerika. Katanya, berada di luar negara ketika Ramadan sememangnya membosankan tetapi itu tidak bermakna Ramadan tidak boleh dihayati seperti mana berada di Malaysia. "Jangan pula hanya kerana berada di luar negara kita jadikan alasan untuk tidak berpuasa. Kita masih boleh berpuasa dan menunaikan solat terawih walaupun berada di tempat orang," katanya. Sementara itu, Adlin Roseley tidak dapat menolak untuk terbang ke United Kingdom kerana majlis konvokesyennya jatuh pada bulan Ramadan. "Tidak mungkin saya tidak hadir majlis graduasi hanya kerana ia jatuh pada bulan Ramadan. "Saya pernah menyambut Ramadan di sana, jadi cabaran dan pengalaman baharu ini saya rasa lebih dirasai oleh ahli keluarga saya yang turut terbang bersama saya," katanya yang baru sahaja menerima Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Kayu dari University of Bath, UK. Hari konvokesyen Adlin jatuh pada bulan Ramadan. Adlin berkata dia sekeluarga telah menghabiskan masa di Bath, Old Trafford dan kota London sepanjang percutian selama lapan hari. "Majlis konvokesyen berlangsung selama sehari di di Bath, selebihnya kami berjalan-jalan di Old Trafford dan London. "Walaupun di London kami tiada masalah untuk berbuka dengan masakan Melayu, tetapi ia tetap kurang menyeronokkan kerana kami tidak boleh singgah minum kopi atau menikmati pencuci mulut selepas penat berjalan seperti mana percutian biasa," katanya. Dia mengakui pengalaman berpuasa di tempat orang adalah pengalaman berharga tetapi tidak akan mengulanginya pada Ramadan akan datang. "Cukuplah hanya sekali saya dan keluarga merasai pengalaman berharga itu, melainkan saya terpaksa terbang atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan pada masa akan datang," katanya.