PETALING JAYA: Kerajaan Ukraine mendakwa kumpulan pemisah pro-Moscow yang mendapat bantuan pegawai perisikan tentera Rusia menembak jatuh pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada Khamis. Sementara itu, Rusia turut menyalahkan Kiev sebagai punca nahas tersebut. Presiden Ukraine, Petro Poroshenko yang mempertingkatkan operasi ke bahagian timur, bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan cuba mendapat sokongan pemimpin lain. "Pencerobohan pihak luar terhadap Ukraine bukan hanya masalah kita tetapi ancaman kepada Eropah dan keselamatan global," katanya. Selepas berjaya menembak jatuh beberapa pesawat tentera Ukraine di kawasan tersebut beberapa bulan lalu, termasuk dua minggu ini, Kiev mendakwa tentera Rusia merupakan dalang di sebalik insiden itu. Kumpulan pemisah dipetik dalam media Rusia pada bulan lalu sebagai berkata, mereka mempunyai sistem anti-pesawat SA-11 jarak jauh. Sementara itu, Rusia yang menuduh kuasa-kuasa Barat cuba menjejaskan kestabilan Ukraine untuk mengekalkan pengaruhnya ke atas bekas negara Kesatuan Soviet itu, mendakwa pemimpin Kiew merancang melakukan rampasan kuasa.