KUALA LUMPUR: Badan penyiasat bebas perlu menyertai proses penyiasatan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine, Khamis, kata seorang ahli akademik. Ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Kapt Dr Mohd Harridon Mohd Suffian berkata selain pihak berkuasa Malaysia dan Ukraine, hasil siasatan punca kejadian itu akan lebih tepat dengan penglibatan badan penyiasat bebas. "Perlu adanya pandangan kedua dari badan bebas yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak bagi memastikan ketepatan keputusannya," katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk 'Maruah Malaysia dan MAS' terbitan BernamaTV di sini, Jumaat. Selain itu, katanya, Malaysia juga berhak untuk turut serta dalam penyiasatan data kotak hitam pesawat MH17 yang dilaporkan telah ditemui oleh kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah itu. "Juga, analisis daripada pelbagai pihak mengenai data kotak hitam juga perlu bagi memastikan keputusan yang diperolehi tepat dan kita dapat membuktikan apa sebenarnya yang berlaku dalam pesawat tersebut sebelum ia terhempas," katanya. Mohd Harridon juga berkata proses siasatan tragedi MH17, yang mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal itu, adalah rumit dan akan mengambil masa sehingga tiga tahun untuk diselesaikan berikutan komponen pesawat telah berkecai. Dalam pada itu, Mohd Harridon menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pesawat tersebut telah disalah tembak oleh peluru berpandu. Katanya, setiap pelancar peluru berpandu dilengkapi dengan sistem radar yang dapat mengesan sama ada sesebuah pesawat yang berada di udara adalah pesawat tentera atau pesawat komersil. Penerbangan MH17 terhempas ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah, kira-kira 50km dari sempadan Rusia. Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 pm (waktu Netherlands) Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.