suria

Pasukan Malaysia Belum Berpeluang Memasuki Kawasan Pesawat Terhempas

KIEV: Pasukan siasatan khas Malaysia belum diberi laluan untuk memasuki kawasan pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17 terhempas di Grabovo, kira-kira 750 kilometer dari sini.

Namun kerajaan Ukraine memberi kerjasama baik kepada delegasi Malaysia.

Menyifatkan keadaan di kawasan nahas sebagai masih 'zon perang' ekoran konflik antara pemberontak pro Rusia dan tentera Ukraine, ketua delegasi Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata ia belum pasti bila mereka dapat ke kawasan nahas.
 
"Kita masih mengadakan perbincangan dengan kerajaan Ukraine dan mereka melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan kita," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Duta Malaysia ke Ukraine, Chuah Teong akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Ukraine untuk mendapat maklumat semasa mengenai situasi.
 
"Kita sentiasa mematuhi keperluan kerajaan Ukraine kerana mereka juga cuba memastikan keselamatan kita dalam melaksanakan misi kita," katanya.

TerdahuluKhairil Hilmi mengadakan perbincngan selama tiga jam sejak 10 pagi yang turut dihadiri Chuah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya. 

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. Ia membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh.

MH17 meninggalkan Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Belanda) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia).

Di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sebagai pemilik MH17 akan memastikan kotak hitam pesawat tidak berada dibawah kawalan pihak yang tidak berkaitan.
 

MH17, MAS

Artikel Lain