PETALING JAYA: Susulan insiden pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengecualikan yuran perubahan kepada penumpang yang ingin menukar jadual perjalanan bagi mana-mana destinasi syarikat penerbangan itu. Malah MAS juga akan membuat pembayaran balik kepada penumpang yang mahu menangguhkan atau membatalkan perjalanan mereka termasuk kepada pemilik tiket yang berada dalam kategori 'tiada bayaran balik'. "Penumpang Enrich kami juga akan menerima pengecualian bayaran bagi apa-apa perubahan kepada jadual perjalanan mereka, serta pulangan balik kiraan perbatuan yang sepatutnya jika memilih untuk membatalkan penebusan tiket mereka," kata MAS menerusi kenyataan pada Sabtu. Tambah syarikat penerbangan negara itu, tawaran pengecualian itu hanya sah pada 18 hingga 24 Julai bagi tempoh berjalanan antara 18 Julai hingga 31 Disember tahun ini. Penumpang yang ingin membuat perubahan kepada rancangan perjalanan mereka boleh menghubungi pejabat kaunter tiket MAS yang terdekat atau hubungi Pusat Panggilan global di talian 1-300-88-3000. MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis. Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan) Khamis dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.10 pagi Jumaat waktu Malaysia. Pesawat terhempas di ladang jagung di kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah, menyaksikan serpihan dan mayat bertaburan di sekitar beberapa kilometer.