APABILA dipandang dari jauh, kibaran reben putih di celah-celah rumput di ladang jagung yang luas di timur Ukraine menjadikan ia suasana yang indah dan tenang. Tetapi apabila didekati, keadaan itu akan menitiskan air mata kerana ribon putih tersebut menandakan kedudukan mayat mangsa MH17 yang dikenalpasti oleh anggota tentera puak pemisah. Kesedihan pula akan menjadi lebih hiba dengan keadaan kecederaan mayat serta memikirkan nasib pesawat mereka yang telah diletupkan pada ketinggian 10,000 meter, lapor Dailymail. Berita yang menjadi tajuk utama Mailonline itu turut mendedahkan bahawa kawasan nahas kini dimasuki orang awam yang merakam gambar serta meninggalkan bunga kepada mangsa. Terdapat dikalangan orang awam yang hadir cuba menyusun barangan mangsa bersama bunga untuk memberi penghormatan dan akhirnya mereka pulang bersama linangan air mata mengenangkan nasib mangsa. Pada masa sama juga, mayat-mayat yang terbiar sebelum ini mula dikumpul sementara menunggu pasukan penyiasat antarabangsa. Penerbangan MH17 milik MAS yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis telah ditembak jatuh di kawasan konflik di timur Ukraine. Puak Pemisah pro-Rusia didakwa bertanggungjawab menembak pesawat awam berkenaan.