Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev pada 10 pagi (3 petang waktu Malaysia) dan disambut Duta Malaysia ke Ukraine, Chuah Teong Ban dan para pegawai Malaysia lain.
Anifah dijadual bertemu Presiden Ukraine Petro Poroshenko, Naib Perdana Menteri Oleksandr Sych dan Menteri Luar Pavlo Klimkin berhubung siasatan kemalangan MH17 di tengah-tengah kebuntuan berkaitan akses di kawasan kemalangan di Donetsk antara Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.
Chuah, ketika ditemui Bernama sebelum itu, berkata sidang akhbar bersama oleh Anifah dan rakan sejawatannya dari Ukraine akan diadakan di Pejabat Luar Negara Ukraine di sini.
Kenyataan itu menyebut Malaysia menggesa kerajaan Ukraine dan pemberontak untuk mengadakan gencatan senjata sementara bagi membolehkan pasukan penyiasat melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka tanpa halangan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai tiba di Kiev pada Ahad untuk membantu merundingkan akses bagi pasukan penyiasat khas dari Malaysia memasuki kawasan nahas.
Pasukan dari Malaysia itu terdiri daripada 133 pegawai dan pakar terdiri daripada anggota mencari dan mengumpul bukti, pakar forensik selain pakar teknikal serta perubatan, tiba di Kiev sehari sebelum itu.
Penerbangan MH17 MAS, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, Timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis malam.
Pesawat Boeing 777 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.
Ia dipercayai ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.