suria

Isu MB Selangor: MPP PKR Bincang Nasib Khalid

Sebahagian wakil media menunggu seawal jam 9 malam di pekarangan ibu pejabat PKR.
PETALING JAYA: Drama komplot untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini semakin serius apabila Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan mesyuarat khas berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor itu, malam ini.

Mesyuarat yang bermula tepat pukul 10 malam dihadiri majoriti ahli MPP termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanun kelibat Abdul Khalid yang juga ahli MPP tidak kelihatan pada mesyuarat tersebut.

Tidak seperti kebiasaan, mesyuarat ini dilihat agak 'luar biasa' apabila suasana di perkarangan Ibu Pejabat PKR kelihatan meriah dengan kehadiran beberapa ahli PKR termasuk wakil media.

Difahamkan mesyuarat bagi membincangkan masa depan Abdul Khalid itu bakal mengambil masa yang panjang hingga lewat malam.

Mesyuarat malam ini dilihat penting kepada PKR dalam menetapkan pendirian parti itu mengenai masa depan Abdul Khalid sebelum sebarang keputusan mengenainya dibentangkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Pada pukul 11.25 malam, Wan Azizah dilihat keluar dari mesyuarat itu dan meninggalkan bangunan ibu pejabat parti berkenaan.



MPP PKR, Menteri Besar Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain