KIEV: Rakyat Ukraine menyampaikan ucapan takziah di pejabat Kedutaan Malaysia di sini berhubung tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 terhempas pada Khamis. Mereka bertali-arus meletak jambangan bunga, kad, lilin malah patung anak beruang sejak dari pagi hingga ke malam di dinding kedutaan. Kad ucapan kebanyakannya ditulis dalam bahasa Ukraine. Ada yang ditulis 'Ukraine is praying with you'. Duta Malaysia di Ukraine, Chuah Teong Ban memberitahu Bernama orang ramai datang seawal 7 pagi di kedutaan yang terletak di Buslivska Street. "Sesetenghnya berdiri bertafakur selama setengah jam sementara sesetengah yang lain membaca doa," katanya. Jalur Gemilang di kedutaan turut dikibar separuh tiang. Pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia. Ia membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal. Media asing melaporkan pesawat telah ditembak tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.