suria

Tiga Wakil Malaysia Dalam Pasukan Penyiasat Antarabangsa MH17

Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, (dua dari kiri) bersama tiga pakar Malaysia iaitu dari kiri Azhari, Mohd Naemy dan Kapten Philip Joseph Selvaraju yang akan menyertai pasukan penyiasat antarabangsa di tempat kejadian nahas MH17 di Ukraine mulai Selasa. Foto - Bernama.

KIEV: Malaysia kini mempunyai tiga wakil dalam pasukan penyiasat antarabangsa yang akan menjalankan siasatan terhadap nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine minggu lalu selepas dipercayai ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara yang canggih.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tiga wakil profesional Malaysia itu ialah dua dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) iaitu Kapten Philip Joseph Selvaraju, 42 dan Mohd Naemy Fahimy Mustapa, 38 manakala yang ketiga ialah Pengarah Kejuruteraan MAS,  Azahari Dahlan, 53.

Liow berkata, ketiga-tiga mereka dipilih selepas Organisation for Security and Cooperation in Europe (OSCE) yang kini mengetuai pasukan siasatan awal nahas memohon Malaysia menamakan tiga pakar.

Mereka akan melaporkan terus Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Kesemua mereka telah berlepas ke  Kharkiv menggunakan pesawat pada jam 8 malam waktu Ukraine (1 pagi Selasa waktu Malaysia).

Mereka kemudiannya akan bergerak menggunakan kenderaan berperisai ke sebuah pekan yang terletak dua setengah jam perjalanan dari Kharkiv, yang mana mereka kemudian akan diserahkan kepada wakil kumpulan pemisah pro-Rusia di Donetsk yang kemudiannya akan membawa mereka ke Torez iaitu bandar yang paling hampir dengan tempat nahas.

Di sana mereka akan disertai oleh tiga lagi wakil dari Belanda dan lain-lain wakil badan penyiasat antarabangsa,

Liow Tiong Lai, DCA, MH17

Artikel Lain