KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Rabu membentangkan usul bagi mengutuk tindakan tidak berperikamanusiaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine 17 Julai lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan usul berkenaan pada persidangan khas Dewan Rakyat berkata, Malaysia menggesa siasatan terperinci dilakukan oleh badan bebas antarabangsa mengenai nahas berkenaan. "Dewan yang mulia ini juga menuntut agar siasatan menyeluruh dibuat supaya pihak yang dipercayai bertanggungjawab melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dengan menembak jatuh pesawat MH17 segera dihadapkan ke muka pengadilan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu. Selain itu menerusi usul tersebut, Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH17. Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis lalu. Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru. Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.