Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia tegas menuntut siasatan yang telus berhubung tragedi malang yang mengorbankan 298 nyawa itu.
"Kita tak mahu terlibat dengan situasi geopolitik di sana...diheret dengan tuduhan pihak berkepentingan.
"Kita mahukan kebenaran dan ia memerlukan kebijaksanaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Rabu.
"Kita akan cari sampai ke lubang cacing. Dari awal lagi kita nak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
Malaysia pada Rabu mengadakan persidangan khas Dewan Rakyat bagi mengutuk tindakan kejam pihak tidak bertanggungjawab yang menembak jatuh pesawat MH17.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sejak insiden itu berlaku pada Khamis lalu, Malaysia melepasi fasa sukar selepas berjaya mendapatkan semula kotak hitam yang sebelum ini dilaporkan dihantar ke Moscow, Russia oleh kumpulan pemisah.
Selain itu, katanya, Kementerian Pertahanan akan memantau proses membawa pulang mayat mangsa MH17 secepat mungkin.