KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan bahawa Indonesia akan terus maju dan makmur di bawah kepimpinan Joko Widowo dan gandingannya Jusuf Kalla. Najib dalam satu kenyataan pada Khamis turut mengucapkan tahniah kepada gandingan itu atas kemenangan mereka dalam pilihan raya Presiden yang diadakan pada 9 Julai lepas. "Dengan keakraban serta kerjasama erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara, saya yakin hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia akan terus diperkukuhkan lagi demi kesejahteraan dan kemakmuran negara dan rakyat kita bersama," katanya. Jokowi, gabenor Jakarta dan gandingannya Jusuf Kalla menang pilihan raya Presiden apabila memperoleh 70,990,832 undi atau 53.15 peratus daripada sejumlah 133,567,276 undi. Calon lawannya Prabowo Subianto dan gandingannya Hatta Rajasa hanya memperoleh 62,576,444 undi atau 46.85 peratus.