PETALING JAYA: Seramai 36,000 banduan beragama Islam di seluruh negara berpeluang bertemu ahli keluarga masing-masing pada hari raya ketiga dan keempat tahun ini. Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Ibu Pejabat Jabatan Penjara, Supri Hashim berkata, lawatan khas Aidilfitri itu meliputi banduan di semua penjara, pusat pemulihan akhlak, Sekolah Henry Gurney dan pusat pemulihan kemasyarakatan. "Kami mengalu-alukan semua keluarga kepada banduan beragama Islam untuk datang melawat pada sesi lawatan khas sempena Hari Raya ini. "Waktu lawatan bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan lawatan," katanya kepada mStar Online pada Jumaat. Setakat ini, jumlah banduan di seluruh negara seramai 48,605 orang. Terdapat 35 penjara, empat pusat pemulihan akhlak, tiga Sekolah Henry Gurney dan lima pusat pemulihan kemasyarakatan seluruh negara. Supri berkata, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni manakala makanan dan minuman untuk mereka hanya boleh dibeli di kantin penjara. "Pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada banduan kecuali jika berkaitan dengan urusan tertentu seperti pembayaran yuran peperiksaan," katanya. Sementara itu, Supri memberitahu kira-kira 10,000 banduan dibebaskan sepanjang Ramadan kali ini yang melibatkan banduan pelbagai agama dan kaum, termasuk warga asing. "Bagi banduan yang akan dibebaskan pada cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri, mereka akan dibebaskan sehari lebih awal," katanya.