suria

Kerang Rebus 'Snek' Popular Lepas Tarawih Di Parit Buntar

TIADA restoran mewah untuk berbuka, jauh sekali bufet Ramadan, tetapi di Parit Buntar, yang terletak di daerah Kerian, Perak, punyai puluhan gerai kerang rebus, suatu fenomena yang membanggakan penduduk setempat sepanjang bulan puasa.



Bagi penduduk di situ dan daerah sekitarnya, menikmati kerang rebus selepas waktu berbuka telah menjadi tradisi dan satu kemestian - setidak-tidaknya sekali, sepanjang Ramadan.

Melihat gerai-gerai ini yang padat dengan pelanggan selepas waktu berbuka, tidak keterlaluan dikatakan kerang rebus kini menjadi fenomena dan menjadi 'snek' lepas tarawih yang paling diminati di Parit Buntar.


Berbeza dengan kerang rebus yang dijual di tempat lain yang dimakan dengan sos, kerang rebus di sini dicicah dengan kuah kacang yang enak dengan campuran rasa manis dan pedas yang pasti membuatkan pelanggan menyukainya.

Kuah kacang sebagai pencicah.

Kini, tanpa disangka-sangka, amalan makan kerang rebus pada Ramadan yang diamalkan hampir satu abad di pekan kecil bersempadan dengan Kedah dan Pulau Pinang ini telah popular dan menjadi tarikan kepada penduduk luar pula.

Uniknya tradisi ini apabila gerai-gerai kerang rebus hanya 'muncul' dalam tempoh sebulan sahaja, setiap hari sepanjang Ramadan.

Berlabuhnya tirai Ramadan, gerai-gerai sementara yang didirikan ini  akan menutup pintunya sehinggalah tirai Ramadan dibuka semula pada tahun hadapan.

Restoran atau kedai makan yang selama ini tidak pernah menawarkan menu kerang rebus juga tidak ketinggalan menawarkan menu tersebut kepada pelanggannya.

Gerai Kerang Rebus Pak Mat yang dibuka pada 1993 menjadi antara gerai kerang rebus yang paling popular dan terus menjadi tumpuan sehingga kini.

Pemiliknya, Mohamad Shah Harun, 64, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Mat akan dilihat sibuk melayan pelanggan dari meja ke meja sebaik sahaja gerai dibuka kira-kira pukul 8.30 malam sehinggalah ia ditutup kira-kira pukul 2 pagi.

Menurut Pak Mat, waktu selepas solat terawih iaitu di antara pukul 9.30 hingga 11.30 merupakan waktu puncak, bukan bagi gerainya sahaja tetapi juga gerai-gerai lain yang menjual hidangan sama.

Pada waktu itu, semua gerai kerang rebus bagaikan pesta, meriah dengan kunjungan pelanggan dari masjid yang hadir dengan kopiah masih di kepala, kumpulan anak-anak muda dan tak kurang juga yang datang berkeluarga.

 
Keadaan gerai yang meriah dengan pelanggan selepas selesai solat terawih.

"Pelanggan biasanya akan serbu gerai kerang rebus selepas solat tarawih.

"Yang tidak pergi solat tarawih pun akan keluar pada waktu hampir sama kerana waktu itu biasanya kita yang berpuasa akan mula rasa lapar semula atau rasa mahu makan sesuatu yang ringan," katanya yang turut menawarkan menu sampingan seperti laksa, mi kuah dan bihun sup.

Pak Mat yang menjalankan perniagaan bersama isterinya, Mariah Wan dan anak-anaknya berkata, pelanggannya terdiri daripada pelbagai bangsa, malah ada yang sanggup datang dari Ipoh, Kulim dan Alor Star semata-mata mahu merasai penangan kerang rebus.

Mengimbas kembali perniagaannya, pesara kerajaan ini bermula dengan 5 kilogram (kg) kerang tetapi kini terpaksa mendapatkan hampir 300kg bekalan kerang mentah setiap malam untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, idea berniaga kerang rebus timbul apabila suatu masa dahulu dia mendapati kawasan Parit Buntar begitu sunyi setiap kali pulang solat terawih.

"Isteri saya pandai buat kuah kacang, jadi saya suruh dia masak kuah untuk dimakan dengan kerang rebus.

"Dulu cuma berniaga depan rumah, buka enam hingga tujuh meja, sekarang syukur perniagaan berkembang, ada 53 meja," katanya yang kini menyewa tapak perniagaan di pekan lama Parit Buntar.


Pak Mat (kanan) bersama isterinya (tengah) dan anak perempuannya, Nadia.

Mengenai rahsia perniagaannya kekal lama berbanding gerai kerang rebus lain, Pak Mat berkata, selain layanan, apa yang paling penting ialah cara dan teknik kerang direbus.

Jelasnya, kerang mentah yang segar perlu disimpan dengan rapi supaya ia tidak busuk atau mati dan airnya tidak mengalir ke tempat lain.

"Saya mempunyai teknik dan formula merebus kerang yang direka sendiri supaya kerang tidak terlalu masin, dan tidak terlebih masak.

"Saya juga akan pastikan kerang yang elok dan cantik isinya diperolehi daripada pembekal, selain mengekalkan keenakan rasa kuah kacang yang digemari ramai pelanggan," katanya.


Salah seorang pekerja menunjukkan kerang rebus yang baharu diangkat dari dapur untuk dihidangkan kepada pelanggan.

Pak Mat mengakui ramai peniaga yang mengambil peluang daripada 'fenomena kerang' ini dengan membuka gerai dan terkini mempelbagaikan menu dengan menawarkan aneka jenis siput.

Katanya, dia menganggap pertambahan gerai setiap tahun dan kreativiti peniaga lain untuk menarik pelanggan sebagai saingan sihat dalam perniagaan.

"Saya gembira melihat perkembangan positif ini. 

"Saya berbaik dengan penjual kerang rebus lain dan tidak kisah berkongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka," katanya yang percaya setiap peniaga mempunyai rezekinya masing-masing.

Artikel Lain