DONETSK: Secara tiba-tiba pasukan penyiasat menemui beberapa kad bank dan kad kredit di lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17. Jurucakap Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), Michael Bociurkiw berkata, pasukannya menemui kad-kad berkenaan berhampiran lokasi bangkai pesawat. "Untuk pertama kalinya kami menemui dokumen pengenalan diri, kad ID dan kad bank. Kami kerap kali berada di lokasi namun tidak pernah menemuinya sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat malam. Tidak dapat dipastikan siapa yang bertanggungjawab meletakkan kad-kad tersebut di lokasi kejadian. Walau bagaimanapun, laporan sebelum ini mendakwa kad kredit milik mangsa MH17 telah digunakan.