suria

Ketahui Risiko Untuk Perjalanan Selamat

KUALA LUMPUR: Kegembiraan berkumpul bersama keluarga sempena sambutan Aidilfitri kian dirasai terutama umat Islam di negara ini.

Sudah dijangka, jalan raya seperti lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan bandar akan mengalami kesesakan berikutan limpahan kenderaan yang akan melalui jalan-jalan utama itu.

Jika kebiasaan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang melalui lebuh raya akan mengambil masa kira-kira empat jam, tidak mustahil pada cuti perayaan utama seperti ini akan mengambil masa sekitar tujuh jam. Itu bergantung pula pada keadaan, mungkin lebih lama lagi sekiranya terdapat kemalangan.

Semua itu 'alah bisa tegal biasa' terutama bagi mereka yang pulang ke Pantai Timur seperti Kelantan kemungkinan mengambil masa berbelas-belas jam untuk sampai.

TANGANI BARAN DI JALAN RAYA

Dalam keghairahan pulang ke kampung, pelbagai ragam pengguna jalan raya boleh dilihat yang mencabar kesabaran hingga membangkitkan kemarahan.

Bayangkan, ketika memandu tiba-tiba kereta di belakang menghampiri rapat sambil membuat provokasi dengan mencabar mengajak berlumba.

Tidak cukup dengan itu, ada pula pemandu memberi isyarat penumbuk dan mengeluarkan kata-kata kesat hanya kerana lambat bergerak setelah berhenti di lampu merah.

Itu kejadian biasa yang berlaku setiap hari di jalan raya. Sesiapa sahaja tidak kira latar belakang pendidikan, kerja mahupun dalam kalangan orang yang kuat agama apabila mula memegang stereng kereta, sikap akan berubah.

Tidak dapat mengawal kemarahan atau panas baran semasa memandu di jalan raya menjadi budaya pemanduan yang semakin meningkat di negara ini, demikian menurut Perunding Keselamatan, Master Saiful Hamiruzzaman.

Kes Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin atau Kiki, 30, yang membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia atas tindakannya mengancam warga emas dengan pengunci stereng hanya satu daripada ribuan kes yang sama berlaku setiap hari.

"Kiki tidak bernasib baik kerana tindakannya itu dirakam dan tersebar di media sosial dan menjadi viral hingga dibawa ke muka pengadilan. Sedangkan setiap hari kes yang sama berlaku di jalan raya apabila kita gagal mengawal kemarahan", katanya kepada Bernama.

Kerana itu kebanyakan kes kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh sikap pengguna itu sendiri yang membawa kepada pelbagai bentuk seperti ancaman dan jenayah.

Terutama memandu ketika musim perayaan untuk pulang berhari raya, tekanan akan bertambah terutama ketika berhadapan dengan kesesakan jalan raya, katanya.

Emosi marah, hilang sabar dan pertimbangan menyebabkan jika ada yang cuba membuat provokasi atau perlakuaan-perlakuan yang mementingkan diri sendiri serta tidak berhemah di jalan raya, pemandu akan cepat memberi respon.

LINDUNGI DIRI DARI INSIDEN

Bagi memastikan tidak terlibat dengan insiden-insiden yang berpotensi ganas, beberapa tips turut diberikan antaranya:
1) Jangan memotong pemandu lain secara melulu hingga boleh mencabar kemarahan pemandu itu.

2)Jangan memandu perlahan di lorong kanan hingga menyebabkan pemandu belakang memberi isyarat lampu yang boleh membangkitkan kemarahan.

3)Jangan mengikut kereta di hadapan terlalu dekat.

4)Jangan membuat isyarat lucah kepada pemandu lain atau isyarat yang boleh mendatangkan kemarahan. 

5)Jika membuat kesilapan, mengakui segera seperti mengangkat tangan sebagai cara menenangkan pemandu lain. 

6)Elakkan hubungan mata dengan pemandu yang agresif.

7)Jangan memandu terus ke rumah sekiranya anda fikir ada orang atau pemandu yang tidak dikenali sedang mengekori anda. 

8)Jika pemandu marah menghampiri kenderaan anda, jangan keluar dan pastikan tingkap dan pintu terkunci serta cuba memandu ke tempat yang selamat seperti balai polis. 

9)Beri laluan kepada pemandu yang agresif dan jangan membuat sebarang provokasi semasa memandu. 

10) Bertolak-ansur semasa memandu di jalan raya harus menjadi keutamaan.

RANCANG PERJALANAN

Saiful berkata, tidak kira perjalanan dekat atau jauh ia harus dirancang dengan sebaiknya bagi meminimumkan risiko. Ramai yang tidak mengambil berat mengenai perkara itu walaupun diingatkan berulang-ulang kali.

Ia bukan sahaja untuk mengelakkan kesesakan tetapi juga mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah. Antaranya dengan mengelak memandu pada waktu malam. 

Ramai dalam kalangan pengguna jalan raya yang memilih waktu malam untuk memandu kerana cuaca yang lebih sejuk selain kononnya dapat mengelakkan kesesakan.

Namun ada risiko yang menanti antaranya faktor mengantuk yang boleh mengundang kemalangan selain terdedah menjadi mangsa jenayah.

"Jika melalui lebuh raya risiko memandu waktu malam mungkin kurang kerana ada peronda lebuh raya yang akan membantu sekiranya berlaku kerosakan dan seumpamanya.

"Tetapi jika melalui jalan persekutuan dan jalan lain, risikonya lebih tinggi. Jika ada yang datang membantu, kita tidak tahu orang itu benar-benar ingin membantu atau ada niat lain seperti rompak atau samun", katanya.

Malah jika dilihat kepada cadangan waktu perjalanan yang ditetapkan Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus), mereka juga tidak mencadangkan memandu pada waktu malam kerana bimbang adanya risiko. Kebanyakan jadual perjalanan yang dicadangkan adalah pagi dan siang kecuali perjalanan pada jarak yang dekat.

"Cadangan Plus itu yang terbaik sebenarnya, cuma kita nak ikut atau tidak sahaja", katanya.

ELAK MENJADI MANGSA JENAYAH

Dari pemerhatian beliau ketika memandu, kebanyakan pengguna jalan raya sering mengambil mudah aspek keselamatan. Kelalaian yang paling ketara ialah tidak mematikan enjin ketika mengisi minyak.

Ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) sesuatu yang biasa apabila melihat ibu bapa meninggalkan anak dalam kereta tanpa dimatikan enjin, katanya.

Sikap itu tanpa disedari memberi peluang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan dan mengundang risiko lain.

"Oleh itu jangan cari masalah sebab kita tidak tahu bagaimana bentuk rupa penjenayah tetapi mereka menunggu dan mengenali kita dan siapa mangsa mereka untuk diambil peluang," katanya.

Langkah keselamatan dalam merancang perjalanan, pengguna boleh membuat kajian jalan-jalan yang akan dilalui terutama untuk mengetahui kes-kes kemalangan dan kes-kes jenayah yang berlaku di kawasan berkenaan.

Cara paling mudah dengan membuat carian di internet tujuannya agar sentiasa bersiap sedia dan lebih berhati-hati apabila berhenti atau melalui kawasan itu.

Pastikan juga barang-barang berharga termasuk barang kemas tidak didedahkan kerana ia boleh mengundang penjenayah.

Selain itu, wajib dijadikan amalan, pemandu menjadi orang terakhir masuk ke dalam kenderaan dan menjadi orang terakhir turun dari kenderaan apabila tiba ke destinasi yang dituju.

"Ramai dalam kalangan kita, bila nak mulakan perjalanan jauh hanya memikirkan aspek kenderaan sahaja tanpa melihat risiko lain. Sikap ini yang perlu diubah untuk memastikan perjalanan kita selamat dan jauh dari perkara yang tidak diingini termasuk menjadi mangsa jenayah," katanya. 


Aidilfitri, jalan raya

Artikel Berikut

Artikel Lain