suria

Najib Jumpa Keluarga Mangsa MH17, MH370 Sempena Aidilfitri

Najib Tun Razak.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan satu pertemuan tertutup dengan anggota keluarga penumpang dan kru pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan MH17 sempena sambutan Aidilfitri di Seri Perdana pada Isnin.

Pada pertemuan itu, Najib yang berbaju melayu merah turut memberi kata-kata semangat kepada anggota keluarga untuk mengharungi detik sukar ini.

Ibu pembantu juruterbang MH17 Muhamad Firdaus Abdul Rahim iaitu Fatimah Ibrahim, 62, berasa lega setelah berjumpa pemimpin nombor satu negara.

"Dalam pertemuan tadi, Perdana Menteri telah memberi kata-kata semangat kepada anggota keluarga MH370 dan MH17 yang hadir supaya tabah menghadapi ujian ini.

"Sekarang, sayapun berasa lega dan kurang tertekan," kata Fatimah, yang kelihatan tenang ketika ditemui di pekarangan Kompleks Seri Perdana.  

Bapa saudara Muhamad Firdaus iaitu Azman Ibrahim, 50, pula berkata dalam pertemuan itu, Najib berjanji kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk membawa balik jenazah mangsa dalam tempoh terdekat. 

"Perdana Menteri juga memberitahu proses (membawa balik jenazah) akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan pihak-pihak antarabangsa dan banyak yang perlu dilakukan," katanya. 

Sementara itu, Madiani Mahdi, 42, yang tidak menyambut Aidilfitri pada tahun ini kerana masih bersedih dengan pemergian suami tersayang, berkata perjumpaan dengan Perdana Menteri pada 1 Syawal telah menyuntik semangat beliau untuk terus bersabar menghadapi dugaan.

Selain itu, Madiani, yang juga isteri Shaikh Mohd Noor Mahmood, berkata beliau bersama dua anaknya berumur 13 dan dua tahun reda dengan pemergian pramugara pesawat MH17 berkenaan.

"Ini ketentuan Allah," katanya.

MH17, MH370, Najib Tun Razak

Artikel Lain