KUALA LUMPUR: Rumah rawatan dan perlindungan untuk bekas penagih dadah yang dikendalikan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) meluluskan sebanyak 60 peratus permohonan penghuninya beragama Islam untuk bercuti sempena Aidilfitri. Pada masa ini, terdapat 350 penghuni beragama Islam daripada 500 penghuni di lapan rumah Pengasih seluruh negara. Presiden Pengasih, Datuk Yunus Pathi berkata, cuti sempena hari raya perlu dimohon dan mendapatkan persetujuan bersama antara penghuni dan keluarga. “Jika ada persetujuan bersama untuk penghuni pulang berhari raya dan penghuni boleh memberikan komitmen untuk memanfaatkan cuti maka kita akan benarkan. “Kelulusan bergantung kepada sesi temuramah dan penilaian kelakuan pemohon. Ini termasuk kelayakan pemohon menghuni rumah Pengasih, sekurang-kurangnya selama tiga bulan,” katanya kepada mStar Online di rumah Pengasih di sini, baru-baru ini. Permohonan cuti raya dilakukan lebih awal sebelum Ramadan dan ditutup pada minggu pertama Ramadan, manakala kelulusan dapat diketahui pada minggu ketiga. Proses permohonan akan melibatkan sesi temuramah pemohon dan mengkaji aspek keselamatan dan pengaruh penghuni serta siapa akan bersama mereka sepanjang tempoh bercuti. Yunus berkata, apa yang lebih penting ialah sejauh mana pemohon sudah bersedia dan kesungguhannya untuk bercuti sempena hari raya. “Bersedia bukan dalam konteks hendak berseronok-seronok bercuti tetapi persediaannya berhadapan dengan cabaran dunia luar ketika bercuti. “Walaupun musim perayaan seperti hari raya mempunyai elemen positif seperti ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan tetapi tidak terkecuali menjadi ruang kepada bekas penagih dipengaruhi melakukan aktiviti negatif seperti berjudi dan mengambil minuman keras selain mengambil dadah,” tambahnya. Sebahagian penghuni pengasih sedang mengikuti sesi taklimat bersama penasihat di rumah Pengasih. Beliau bagaimanapun berkata, terdapat segelintir penghuni Pengasih yang tidak mahu pulang berhari raya bersama keluarga kerana bimbang dengan cabaran dan pengaruh dunia luar. “Dalam aspek ini, kita di Pengasih sangat demokratik dengan memfokuskan kepentingan penghuni termasuk hak-hak mereka.Kalau mereka tak nak balik kerana masih belum bersedia dan takut terpengaruh kepada perkara tidak baik, kita tidak boleh paksa mereka,” katanya. Dalam tempoh proses permohonan, penghuni tidak boleh melakukan kesalahan-kesalahan seperti tidak berpuasa, atau insiden yang boleh mencetuskan emosi dan tidak menghadirkan diri dalam program tertentu yang disediakan Pengasih seperti solat berjemaah dan solat terawih. Permohonan yang diluluskan akan dimaklumkan kepada pemohon dan keluarganya akan dipanggil untuk diberikan taklimat sebelum penghuni dibenarkan pulang bercuti. “Dalam taklimat itu, kita menasihatkan keluarga mengenai pengawasan pergerakan penghuni seperti waktu keluar dan tidur dan menasihatkan agar tidak memberikan wang tunai terlalu banyak, jangan beri kad kredit, ada batasan dari segi penggunaan telefon,” katanya. Mengenai cuti hari raya, tempoh bercuti yang diberikan ialah sehingga seminggu dan mereka mula dibenarkan pulang berhari raya pada minggu terakhir Ramadan. Menurut Yunus, tempoh bercuti itu juga dilihat sebagai proses penilaian ‘pasca-rawatan’ penghuni mengenai sejauh mana perubahan dan kawalan dirinya. “Kita akan lihat sekiranya penghuni berjaya melakukan perubahan positif. Tidak semestinya kejayaan pertama akan menghasilkan kejayaan seterusnya. “Tetapi sekurang-sekurangnya ia sebagai permulaan mereka berhadapan dunia luar. Pengasih akan membantu penghuni terus melakukan perubahan positif dalam menjalani kehidupan baharu,” katanya.