KOTA KINABALU: Kira-kira 200 orang hilang tempat tinggal apabila lebih kurang 25 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Gentisan, Sepanggar, dekat sini, Selasa. Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, pihaknya mengambil masa hampir 45 minit untuk mengawal kebakaran selepas tiba di tempat kejadian pada pukul 2.52 petang. Menurut kenyataan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Lintas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.37 petang sebelum sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian. Jabatan itu berkata, operasi memadam kebakaran itu turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan pasukan bomba dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kejadian disiasat.