suria

Busana Raya Warna Sedondon Pupuk Hubungan Erat Keluarga

KUALA LUMPUR: Setiap kali Hari Raya, seolah-olah menjadi budaya bagi setiap keluarga untuk berpakaian warna sedondon mengikut tema pilihan keluarga masing-masing bagi menjadikan sambutan raya mereka lebih bermakna dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Guru pendidikan awal kanak-kanak, Habshah Ngatman, 34, berkata bagi keluarganya setiap kali menjelang Ramadan mereka sudah memikirkan warna tema untuk keluarga.

"Saya rasa tidak lengkap jika kami sekeluarga tidak sedondon, macam tidak sehaluan dan kurang kasih sayang antara kami," katanya kepada Bernama.

Habshah berkata, dia teruja menantikan kepulangan suami tercinta yang kini bekerja di perantauan dan sepakat memilih warna hijau zamrud untuk tema keluarga mereka pada hari raya nanti.

"Suami saya menetap di Vietnam kerana dia bekerja di sana, jika dia tidak dapat pulang beraya atas urusan kerja, saya tetap akan pastikan dia di sana pakai baju warna sama dengan saya dan anak-anak di sini," katanya.

Habshah berkata, malah suaminya Mohd Rosdy Shaharum, 32, yang merupakan seorang pengurus sebuah syarikat swasta, turut mengambil berat tentang pemilihan pakaian.

"Bukan sahaja di pagi raya, malah untuk keluar bersiar-siar juga suami pastikan kami pakai warna sama, barulah akrab rasanya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau dan suami sentiasa memupuk semangat kekeluargaan melalui persamaan minat dan pilihan agar anak-anaknya berasa disayangi kerana tiada apa yang membezakan mereka.





Bagi ahli perniagaan, Nurhani Rosli, 30, berkata, seingat beliau tidak pernah keluarganya menyambut hari raya dengan memakai baju yang berbeza warna.

"Setiap tahun mesti sedondon...bagi saya kalau tidak pakai warna sama sambutan raya menjadi hambar," katanya.

Nurhani berkata, dia dan suami, Amar Aswat Abu Bakar, 30, yang juga seorang ahli perniagaan perabot jati sepakat memilih warna biru tiffany sebagai tema Aidilfitri kali ini.

"Bila sekeluarga berpakaian warna sedondon, pergi beraya ke rumah sanak saudara dan sahabat, mereka akan tahu warna itu keluarga siapa, ada identiti di situ, anak-anak turut teruja bila kami semua sama," katanya.


Gambar Hiasan.

Menurut Pakar Pembangunan Modal Insan Pendidikan dan Bimbingan Keluarga, Prof Dr Rozieta Shaary, berpakaian warna sedondon antara anggota keluarga dapat menimbulkan 'mood gembira' kerana ia kelihatan cantik di pandang.

"Untuk memastikan semua mesti berpakaian warna sama, ia bagus kerana dapat memupuk semangat kekeluargaan terutamanya dalam kalangan anak-anak, persamaan itu biasanya membuatkan kita rapat kerana tiada yang tersisih," katanya kepada Bernama.

Menurut Rozieta, nilai persamaan atau sefahaman sebegini adalah baik untuk diterapkan dalam diri anak-anak, agar mereka mempunyai semangat cintakan keluarga, tetapi perlulah dengan cara yang betul dan bukan dengan niat menunjuk atau sekadar mengikut-ikut sahaja.

"Bila ibu bapa menetapkan sesuatu peraturan atau saranan, perlulah dipastikan bahawa setiap ahli keluarga memahami nilai yang ingin diterapkan, supaya tidak timbul rasa tidak puas hati," katanya.

Bagaimanapun Rozieta berkata, ia haruslah mendapat persetujuan bukan dengan cara paksaan dan perbezaan warna pakaian antara ahli keluarga itu tidak dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

"Kadang-kadang ada anak-anak yang sudah meningkat dewasa mereka ada cita rasa sendiri, mereka hendak mencari identiti sendiri, jadi ini juga perlu diambil kira, jangan pula melihat keluarga yang tidak sedondon itu sebagai tidak akrab, kerana setiap kita ada cita rasa tersendiri," katanya.


sedondon, baju, Aidilfitri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain