suria

MH17: Najib, Rosmah Bertafakur Di Hilversum

HILVERSUM: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bertafakur seketika di pintu masuk sebuah fasiliti tentera di sini, di mana mayat-mayat mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine, sedang dikenal pasti menerusi proses forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Najib dan Rosmah, yang masing-masing memakai sut dan baju kurung berwarna hitam, meluangkan masa beberapa minit di situ sebelum memasuki fasiliti berkenaan untuk mendengar taklimat Pusat Krisis Negara Belanda mengenai keseluruhan proses mengenal pasti mayat-mayat mangsa nahas itu.

Turut hadir wakil-wakil Malaysia termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Duta Besar di Netherlands Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib. 

Penerbangan MH17 itu, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai telah ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

Seramai 195 warganegara Belanda menaiki pesawat itu.

Terdahulu di The Hague, Najib dan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menggesa supaya dihentikan segera pertempuran di dalam dan sekitar kawasan nahas MH17 untuk memastikan ia tidak mencetuskan peperangan antara kerajaan Ukraine dan pihak pemisah.

Najib berkata kedua-dua negara juga meminta semua pihak, kerajaan Ukraine dan puak pemisah supaya menghormati mangsa yang terkorban dan kewibawaan kawasan nahas itu bagi membolehkan penyiasatan dimulakan.

Kemudian, Najib dan Rosmah akan meraikan anggota-anggota pasukan penyiasatan Malaysia pada satu majlis makan malam di Amsterdam pada 7.30 malam waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia).

Najib Tun Razak, MH17, MAS

Artikel Lain