MELBOURNE: Pihak berkuasa penerbangan kebangsaan Australia menolak anggapan bahawa Malaysia Airlines (MAS) dilanda isu keselamatan berikutan satu kejadian yang melibatkan pesawatnya di Lapangan Terbang Adelaide awal minggu ini, demikian menurut laporan laman sesawang ninemsn. Dalam kejadian itu, Penerbangan 136 MAS terpaksa berhenti sebelum berlepas ke udara apabila sebuah pesawat Tigerair dari Melbourne terpaksa menukar rancangannya untuk mendarat. Air Services Australia (ASA) berkata tidak berlaku kejadian "hampir berlanggar" antara dua pesawat itu dan juruterbang Tigerair memohon penggunaan prosedur "go-around" standard kerana mengalami keadaan tidak stabil ketika ingin mendarat. "Go-around merupakan langkah selamat dan sering diamalkan, yang menyaksikan sesebuah pesawat tidak meneruskan hasratnya untuk mendarat," kata kenyataan ASA. "Sebagai tambahan dan untuk menjamin keselamatan operasi seterusnya di lapangan terbang itu, pengawal trafik udara meminta sebuah penerbangan antarabangsa tidak meneruskan perjalanannya untuk berlepas," katanya. Pesawat MAS itu difahamkan bergerak ke tempat menunggu di luar landasan sebelum berlepas 30 minit kemudian. Jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berkata siasatan tidak akan diadakan berhubung kejadian itu.