suria

Lampu Kelip-Kelip Tambah Kemeriahan Lebaran

KUALA LUMPUR: Meskipun menyalakan pelita masih menjadi tradisi menjelang Hari Raya Aidilfitri, namun kini lampu kelip-kelip turut menjadi pilihan untuk memeriahkan lagi suasana musim perayaan.


Memasang lampu kelip-kelip di sekitar rumah, pejabat serta tempat awam seperti hospital dan bank kini menjadi trend terutama beberapa hari sebelum ketibaan Syawal.

Muhammad Hazim Zainal, 47, yang merupakan peniaga lampu kelip-kelip berkata, orang ramai membeli dan memasang lampu itu untuk memeriahkan lagi sambutan hari lebaran.

"Mereka lebih suka pasang lampu ini sebab ia murah dan sekali gus akan mewujudkan suasana meriah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jalan Raja Hassan, Klang.

Beliau juga berkata, lampu kelip-kelip kini dikeluarkan dengan pelbagai corak dan bentuk seperti bintang, jala dan yang lebih hebat dalam bentuk diod pancaran cahaya (LED).

"Pelanggan sanggup membeli lampu LED ini walaupun harganya agak mahal sedikit jika dibandingkan dengan lampu kelip-kelip biasa kerana cahaya warna-warni yang dipancarkannya luar biasa," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hazim berkata, permintaan bagi lampu kelip-kelip sentiasa tinggi sewaktu musim perayaan termasuk  Deepavali dan Krismas.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nur Habib Aflan, 38, berkata, pemasangan lampu kelip-kelip merupakan satu perkara biasa dan beliau sudah mengamalkannya sejak kecil.

"Selain pelita, saya suka pasang lampu kelip-kelip kerana ia membangkitkan suasana musim perayaan dan merupakan sesuatu yang agak menarik," katanya.

Habib, yang juga juruteknik kilang, berkata anak-anaknya menggesa beliau untuk membeli dan memasang lampu kelip-kelip saban tahun apabila menjelang hari lebaran dan ini membuktikan ia turut menjadi pilihan kanak-kanak.

Suriani Hasli Arwan, 30, pula berkata pembelian lampu kelip-kelip setiap tahun adalah perkara wajib baginya seperti membeli pakaian raya.

"Rasa macam tiada 'feel' raya kalau tidak pasang lampu kelip-kelip. Apa lagi jika jiran sudah memasangnya, pasti kita akan lebih ghairah dan memasangnya secepat yang mungkin untuk menunjukkan kitapun menyambut hari raya," katanya ketika ditemui penulis.

Harga lampu kelip-kelip biasa boleh didapati dalam lingkungan RM3 hingga RM10.


lampu kelip-kelip, Syawal

Artikel Sebelum

Artikel Lain