Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah Khairul Anuar Ramli berkata tindakan tersebut penting kerana rakyat khususnya di Kedah perlu mengetahui salah laku berkenaan memandangkan ia melibatkan harta awam.
"Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah memandang serius dakwaan yang dikemukakan (Muhammad Sanusi) itu dan mendesak pihak berkuasa menyiasat perkara ini. Malah, lebih baik jika Sanusi sendiri mengemukakan butiran terperinci," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beberapa hari lalu, Muhammad Sanusi menerusi Facebook mendedahkan kemelut kerajaan Kedah sebelum ini yang diketuai PAS, yang didakwanya banyak disebabkan oleh Adun daripada PKR.
Katanya selain itu, Sanusi turut menyebut tentang penyelewengan melibatkan seorang Exco Kerajaan Negeri yang membuat tuntutan perjalanan mencecah RM23,000 iaitu melebihi daripada elaun bulanan Exco iaitu RM17,000.
"Di samping itu, ia juga disebut bahawa bekas Menteri Besar (Azizan) secara diam-diam meluluskan kawasan balak kepada PKR melalui satu syarikat yang didaftarkan melalui proksi (disebabkan desakan Adun PKR)," katanya.
Sehubungan itu, Khairul Anuar berkata pihaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan.
"Saya juga berharap Sanusi benar-benar telus. Jika mahu membersihkan nama PAS Kedah, beliau harus tampil segera memberikan butiran terperinci," katanya.