ALOR SETAR: Presiden parti Gerakan Datuk Mah Siew Keong pada Jumaat mencadangkan supaya pilihan raya negeri Selangor diadakan sekiranya isu pertukaran Menteri Besar Selangor masih gagal menemui jalan penyelesaian. "Buat masa sekarang, saya lihat negeri Selangor perlu membuat pilihan sama ada ingin terus mengekalkan Abdul Khalid menjadi menteri besar atau pun mengadakan pilihan raya negeri supaya rakyat dapat menentukan siapa yang layak memegang jawatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perwakilan parti Gerakan Negeri Kedah di sini. Katanya parti itu melihat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu kekal sebagai Menteri Besar Selangor bagi meneruskan usaha yang dibuat untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penduduk Selangor. Beliau berkata sejak kebelakangan ini Selangor banyak menghadapi masalah seperti bekalan air dan kes denggi, dan Abdul Khalid perlu diberi peluang meneruskan usaha mengatasi masalah-masalah tersebut. "Saya risau isu pertukaran Menteri Besar Selangor ini akan menjejaskan rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu dan tidak mahu pelaksanaan projek Empangan Langat 2 terganggu. "Masalah ini tidak perlu dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu kerana apa yang penting sekarang adalah untuk menyelesaikan masalah kekurangan air yang dihadapi penduduk Selangor," katanya. Baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 20 Julai lepas telah menerima cadangan untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu. Bagaimanapun cadangan itu tidak mendapat sokongan ramai pemimpin PAS dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid dengan berkata Khalid perlu terus menyandang jawatan Menteri Besar Selangor hingga berakhirnya penggal sekarang. Sementara itu, Mah yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri memuji pendekatan yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani tragedi malang pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. "Perdana Menteri mengambil langkah rasional bagi mengatasi masalah ini dan telah berjaya mencapai persetujuan untuk membawa keluar jenazah mangsa dari tempat kejadian sebelum boleh dibawa pulang," katanya.