PUTRAJAYA: Pengguna di Malaysia boleh memberi tekanan kepada ekonomi Israel dengan bertindak memboikot barangan yang dikaitkan dengan negara berkenaan secara besar-besaran. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata sudah tiba masanya pengguna beralih kepada produk alternatif atau tempatan memandangkan tindakan memboikot sukar dilakukan berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk mereka di Malaysia. "Ini adalah masa yang sesuai untuk menggunakan produk alternatif atau produk tempatan untuk memberi mesej protes yang tegas terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin," katanya pada Ahad. Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan baru-baru ini supaya memboikot barangan dan produk berhubung kait dengan Israel bagi mengurangkan kekejaman dan kerakusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Nadzim berkata pengguna di Malaysia boleh memulakan tindakan boikot itu tetapi ia mesti mendapat sokongan yang kuat daripada orang ramai demi memastikan misi untuk melemahkan ekonomi Israel dapat dilakukan. "Pengguna tempatan harus mencontohi rakyat di negara Korea dan Jepun apabila mereka mengutamakan produk dan barangan tempatan dari semua aspek antaranya dari segi penggunaan bahasa kebangsaan, kenderaan dan pelbagai perkara lain," katanya. Sehubungan itu, pengguna tempatan khususnya generasi muda tanpa mengira agama dan bangsa harus mempunyai kesedaran betapa pentingnya tindakan boikot itu sebagai isyarat protes terhadap Israel agar menghentikan kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin, katanya. Bekas Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah berkata usaha untuk memboikot barangan yang dikaitkan dengan Israel adalah seumpama berjihad (berjuang) di medan peperangan tetapi bezanya ia tidak membabitkan senjata. "Tindakan boikot oleh pengguna ini mampu memberi impak maksimum dalam memberi tekanan kepada Israel dengan cara melemahkan ekonomi mereka. "Bagaimanapun, ia merupakan cabaran untuk dilaksanakan di Malaysia kerana produk-produk berkaitan Israel ini sangat popular dan digemari oleh pengguna tempatan khususnya generasi muda," katanya. Tindakan boikot itu hanya akan berjaya sepenuhnya sekiranya ia mendapat sambutan yang baik daripada pengguna di seluruh negara, katanya.