Ketuanya Mas Ermieyati Samsudin berkata sasaran itu boleh dicapai dengan pelbagai usaha yang dijalankan pergerakan itu sepanjang penggal beliau menerajui pergerakan itu.
"Baru-baru ini kita telah melancarkan aplikasi telefon pintar 'PUTERI' bagi memudahkan penyaluran pelbagai maklumat kepada wanita muda dan kita menerima lebih 200 permohonan untuk menganggotai Biro Sahabat Puteri menerusi aplikasi tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini Ahad.
Beliau juga berkata Puteri telah menubuhkan Biro Sahabat Puteri akhir tahun lepas bagi menarik sokongan golongan muda kepada Umno tanpa mengira jantina dan kaum.
Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata pergerakan itu akan meneruskan program Kembara I.L.M.U (Inspirasi. Latihan. Motivasi. Unggul) anjuran Biro Pendidikan pergerakan itu di seluruh negara.
Beliau berkata program itu bertujuan memberi pengisian slot motivasi, kerjaya dan latih tubi kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam sebagai persediaan menghadapi cabaran negara pada masa depan.
"Program ini adalah salah satu inisiatif kita untuk membantu pelajar dalam pelajaran dengan cara latih tubi dan kita akan mengikuti perkembangan pelajar dari semasa ke semasa dari segi peringkat latihan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata menerusi program yang diadakan di Negeri Sembilan pada Jun lepas, pergerakan itu berjaya menarik kira-kira 600 hingga 700 murid menyertai program itu.
Katanya program itu memberi manfaat yang amat besar kepada murid dan mereka perlu mengambil peluang yang disediakan itu.