KOTA TINGGI: Penduduk Kampung Lukut dekat sini hidup dalam ketakutan selepas dua ekor gajah liar dewasa berkeliaran di persekitaran kampung mereka sejak dua hari lepas dan memusnahkan tanaman kelapa sawit dan pokok pisang. Jumaat lepas gajah berkenaan memusnahkan pokok kelapa sawit dan pisang yang ditanam berhampiran kampung dan merosakkan bangsal berhampiran sebuah rumah penduduk. Seorang penduduk, Roslan Dahlan berkata pokok sawitnya yang berusia empat bulan dan dua tahun di kawasan seluas 2.43 hektar dipercayai dimusnahkan oleh haiwan itu dua malam berturut-turut. Roslan, 49, berkata kehadiran dua ekor gajah itu menyebabkan penduduk berasa tidak bebas untuk berjalan terutamanya pada waktu malam kerana takut diserang gajah. Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Bandar Penawar mengesahkan menerima laporan Roslan hari ini dan tindakan susulan akan dibuat.