suria

Ada Perbincangan Untuk Singkir Khalid Dari PKR

Rafizi Ramli
KLANG: Terdapat perbincangan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR dalam mesyuarat biro politik parti itu pada Ahad, kata pengarah strategik PKR Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan tidak dicapai melalui perbincangan tersebut. 

"Sama ada beliau akan dipecat atau tidak, anda mesti bertanya kepada lembaga disiplin," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam untuk menjelaskan mengapa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail harus menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, Isnin.

Beliau berkata majlis makan malam yang sama akan diadakan untuk memberitahu ahli-ahli parti dan akar umbi kenapa Abdul Khalid tidak patut memikul tugas tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Rafizi mengulangi bahawa Abdul Khalid tidak bekerja dengan baik dengan ahli-ahli parti yang lain.

"Setiap kali apabila beliau (Khalid) mencipta isu, Anwar Ibrahim perlu datang dan berkata sesuatu.

"Berapa lama perkara ini perlu berlaku? Sebab itu PKR meminta beliau digantikan dengan Kak Wan (Dr Wan Azizah)," katanya.

Rafizi juga mencabar Abdul Khalid untuk bertindak balas terhadap Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, yang mendakwa Abdul Khalid menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Besar. 

Beliau juga mengutuk perjanjian air antara negeri dan Persekutuan, yang didakwa berat sebelah.

Dr Wan Azizah, sementara itu, berkata mesyuarat di antara Khalid, pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dirinya bagi membincangkan krisis Menteri Besar masih belum berlaku.

Dalam ucapan ringkas beliau, Dr Wan Azizah, menyifatkan Khalid sebagai "pemimpin yang baik yang telah mencipta asas yang kukuh untuk membawa negara ke hadapan".

"Tetapi semua tugas tidak boleh dilakukan berseorangan. 

"Kita memerlukan seseorang yang mendengar, berjumpa dan berbincang dengan semua orang sebelum mengambil sesuatu langkah," katanya sebelum bergegas ke acara lain.
PKR, Rafizi Ramli

Artikel Lain