suria

AirAsia Nasihat Penumpang Semak Status Penerbangan Dalam Talian Elak Kesulitan

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, menasihati penumpangannya supaya menyemak status penerbangan mereka secara dalam talian sebelum berlepas ke lapangan terbang bagi mengelak kesulitan akibat kelewatan penerbangan berikutan penutupan ruang letak pesawat di KLIA2.

AirAsia dalam satu kenyataan pada Isnin berkata beberapa penerbangan AirAsia dan AirAsia X menghadapi kelewatan antara 10 minit dan 45 minit setiap hari berikutan penutupan sementara sembilan ruang letak pesawat di KLIA2.

"Penumpang digalakkan menyemak status penerbangan mereka di www.airasia.com sebelum berlepas ke lapangan terbang.

"Penumpang juga boleh mengetahui perkembangan baharu mengenai AirAsia dengan mengikuti akaun Twitter syarikat (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia)," katanya.

AirAsia berkata menurut Malaysia Airports Holdings Bhd, ruang dari K2 hingga K18 di KLIA2 ditutup sejak 31 Julai sebagai langkah keselamatan untuk membolehkan Kuala Lumpur Aviation Fuelling System menjalankan pemeriksaan rapi.

Ia berkata kedua-dua AirAsia dan AirAsia X bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mengurangkan sebarang kesulitan kepada penumpang mereka yang menyumbang hampir 92 peratus daripada jumlah trafik di klia2.

KLIA2, AirAsia

Artikel Sebelum

Artikel Lain