PETALING JAYA: Walaupun kemelut politik Selangor masih belum bernoktah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin memutuskan untuk mengadakan Kongres Nasional PKR Ke-10 bermula 22 hingga 24 Ogos ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kongres tahunan kali ini akan membabitkan seramai 3,740 perwakilan dari 220 cabang PKR di seluruh negara. "Sebanyak 220 cabang berdaftar yang selesai mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing dan seramai 3,740 perwakilan layak menghadiri kongres pada kali ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Isnin. Saifuddin berkata, sehingga hari ini, ibu pejabat PKR menerima sebanyak 1,100 permohonan sebagai perwakilan dan pemerhati cabang. Jelasnya, kongres ini turut melibatkan mesyuarat tahunan bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR. Saifuddin berkata, seperti amalan sebelum ini, PKR turut menjemput kira-kira 200 jemputan khas untuk menghadiri kongres tersebut. "Jemputan khas ini terdiri daripada wakil kedutaan asing, badan bukan kerajaan (NGO) , pimpinan Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pengamal media," katanya. Saifuddin berkata, memandangkan kongres tersebut masih didalam bulan Syawal, PKR akan mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara sederhana pada hari terakhirnya.