BETING MARO (Sarawak): Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk mengenai pengurusan mayat dan jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Khamis ini. Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mesyuarat itu akan menentukan segala proses pengurusan mayat dan jenazah mangsa nahas itu. "Mesyuarat tersebut akan memperincikan semua tuntutan diterima daripada keluarga mangsa berkenaan proses yang akan dilakukan ketika mayat mangsa dibawa pulang serta proses pengebumian yang akan dilakukan," katanya. Rohani yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Batang Maro di sini, Isnin. Turut hadir Timbalannya Datin Paduka Chiew Mei Fun dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Sabariah Hassan. Upacara menyambut ketibaan mangsa dan jenazah mangsa nahas MH17 dari negara ini akan dilakukan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tarikh yang akan diumumkan kelak. Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai. Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu. Sebanyak 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu. Ketika diminta memperincikan mengenai bayaran pampasan kepada waris terdekat mangsa nahas, Rohani berkata pembayaran secara berperingkat akan mula dibuat pada 8 Ogos ini. Pagi tadi dalam temu bual dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau berkata waris terdekat mangsa nahas MH17 dijangka menerima bayaran pampasan awal sebanyak AS$50,000 atau kira-kira RM160,000 dalam jangka masa terdekat.