suria

Surat Penyelesaian Bersama Khalid Palsu - PKR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan mengeluarkan surat penyelesaian yang menawarkan tiga insentif kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya beliau melepaskan jawatannya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, surat penyelesaian bersama 'Langkah Kajang' itu adalah palsu.

"Saya telah menghubungi Datuk Saifuddin (Setiausaha Agung PKR) dan beliau sendiri mengesahkan tidak pernah mengeluarkan surat tersebut.

"Malah nombor rujukan yang digunakan adalah nombor rujukan palsu 'JKD' merujuk kepada Jawatankuasa Disiplin," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata, Saifuddin juga tidak menandatangani surat yang dikeluarkan itu.

Surat bertarikh 5 Ogos itu yang kononnya ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail itu menggariskan tiga insentif kepada Abdul Khalid hasil perbincangan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Ogos lalu.

Antara insentif tersebut adalah Abdul Khalid akan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuas Penstrukturan Air antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,  Penasihat Ekonomi Selangor dengan elaun bulanan sebanyak RM50,000 dan kemudahan setaraf Menteri Besar.

Insentif terakhir adalah untuk menutup salah laku politik dan kewangan membabitkan Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang.

"Tidak akan ada sebarang laporan atau penyiasatan akan dilakukan terhadap segala dakwaan tersebut," demikian menurut kenyataan tersebut.

Saifuddin ketika dihubungi turut menafikan beliau mengeluarkan surat tersebut.

"Saya boleh sahkan surat tersebut adalah palsu. Saya tidak pernah menandatangani surat penyelesaian berkenaan," katanya.

Pada masa sama, PKR turut mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan surat tersebut kerana ia disifatkan sebagai niat jahat untuk mengeruhkan lagi kemelut politik di Selangor.


Artikel Sebelum

Saya Seronok - Khalid

Artikel Lain