Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama jemaah menteri dan keputusan mengenainya akan diumumkan selepas itu.
"Saya faham sangat kerana keperitan dan luahan rakyat biasa amat unik dan cara bagaimana untuk libatkan mereka ini perlu mendapat keputusan jemaah menteri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Menyambut Jenazah Nahas MH17 di Kementerian Pertahanan di sini, Khamis.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, pihak kementerian yang terbabit turut diminta mendekati keluarga mangsa bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai upacara berkabung itu.
"Namun kita di sini mesti buat persiapan mengambil tanpa mengira agama dan latar belakang pihak keluarga yang dikenal pasti," katanya.
Malah, Hishammuddin berkata, langkah untuk mengadakan upacara berkabung tanpa jenazah mangsa nahas MH17 seperti yang dilakukan oleh Australia antara cadangan yang akan dipertimbangkan dalam mesyuarat Kabinet nanti.
"Ia satu lagi pilihan dan kaedah terbaik untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa dan keluarga terlibat," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penghantaran jenazah mangsa ke Malaysia, beliau berkata, kerajaan akan memutuskan penghantaran secara beramai-ramai atau berperingkat selepas proses mengenal pasti mayat diumumkan pihak Belanda.