suria

Pengguna Internet Berang Cadangan Kerajaan Tutup Facebook

PETALING JAYA: Rata-rata pengguna internet berang dengan cadangan kerajaan untuk menutup laman sosial Facebook.

Mereka melabelkan cadangan tersebut sebagai tidak berpandangan jauh, 'bodoh' berbanding benda lain.

Seorang pengguna Facebook, Felicia Ernestine Sylvester menyoal, apakah rasionalnya disebalik cadangan yang dikemukakan itu.

"Apa salah Facebook? Anda boleh menyekat pengguna yang menyalahgunakannya," katanya.

Seorang lagi pengguna, Chong Li Herng secara sarkastik berkata lebuh raya harus ditutup kerana ia menyebabkan banyak kemalangan dan kematian.

Kamarul A Muhamed turut berkongsi sentimen yang sama dengan Chong.

"Apabila anda pihak yang berkepentingan, adalah lebih baik sekiranya anda melarang penggunaan kereta, motosikal, bas dan lain-lain, yang menyebabkan ribuan kematian setiap tahun. Ini bukanlah idea yang masuk akal," katanya.

Facebook telah diharamkan di beberapa negara seperti Korea Utara, Iran, sementara China, Mesir dan Pakistan juga telah mengharamkan penggunaan laman sosial berkenaan walaupun larangan tersebut tidak kekal lama.

Kebanyakan pengguna berkata, Facebook merupakan platform yang digunakan orang ramai mencari idea dan berhubung dengan rakan-rakan dan ahli keluarga, menjalankan perniagaan, menyebarkan maklumat penting dengan cepat dan berkesan.

Sheela Palanisamay berkata "Facebook menjadi medan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama selepas beberapa tahun tidak berjumpa, ahli keluarga yang dekat dan jauh dapat berhubung biarpun mereka tinggal di negara yang berlainan.

"Anda menafikan hak rakyat untuk berkomunikasi secara percuma jika FB ditutup," katanya.

Kasturi Kartiben Muthu menyatakan bahawa golongan yang tidak cerdik ada di mana-mana, bukan sahaja di Facebook.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk menutup Facebook namun mereka ingin mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, kerana tindakan tersebut agak radikal.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, mereka menerima 2,000 laporan mengenai posting Facebook oleh pihak tidak bertangugngjawab dan jumlah tersebut agak kecil jika dibandingkan dengan bilangan pengguna Malaysia yang dianggarkan kira-kira 15 juta. 


Facebook, Internet

Artikel Lain