suria

Kerajaan Sedia Pinda Akta Hasutan - TPM

BERA: Kerajaan bersedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain yang sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebar kenyataan berunsur hasutan tanpa mengira kaum dan agama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kabinet memberi jaminan tindakan itu akan dilakukan bagi memastikan individu atau pihak-pihak yang terbabit tidak terlepas daripada dikenakan tindakan tegas untuk mengelakkan negara menjadi huru-hara ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Jika undang-undang yang sedia ada tidak cukup kuat, kita akan pinda dan cari jalan supaya pihak berkuasa sama ada Jabatan Peguam Negara atau polis tidak boleh beri alasan mereka tidak mengambil tindakan kerana tidak mempunyai peruntukan undang-undang.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dipertanggungjawab dalam soal multimedia, manakala Jabatan Peguam Negara akan melihat dari segi perundangan yang mana jika memerlukan Akta Hasutan dan akta lain perlu diperkukuhkan lagi maka harus dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda Daerah Bera di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Bera yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin.

Muhyiddin berkata mendepani media sosial merupakan antara cabaran hebat yang perlu dihadapi oleh kerajaan pada masa kini sama seperti yang dihadapi oleh kerajaan lain di seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan menyedari reaksi kurang senang masyarakat yang beranggapan seolah-olah ada pertuduhan terpilih oleh pihak berkuasa dalam menangani beberapa isu sejak kebelakangan ini.

"Mereka kata kalau melibatkan kes kaum orang Melayu cepat sahaja pihak berkuasa ambil tindakan dan apabila membabitkan orang bukan Melayu lambat ambil tindakan dan tanggapan ini ada asasnya.

"Hal ini kita akan ambil perhatian dan jika undang-undang sedia ada memadai, ia harus dikuatkuasakan tidak kira kaum, jika Melayu bersalah kita ambil tindakan begitu juga kaum lain, barulah adil.

Dalam masa yang sama, katanya, setakat ini kerajaan belum bercadang untuk melakukan tapisan terhadap internet di negara ini.

"Mungkin tak tapis tetapi kalau ada (mengeluarkan kenyataan) bercanggah dengan undang-undang membangkitkan semangat berunsur perkauman dan semarak kebencian serta fitnah, kita akan ambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada," katanya.


Akta Hasutan, MCMC

Artikel Berikut

Artikel Lain