suria

Tiga Sekeluarga Cemas Rumah Dimasuki Perompak

GEORGE TOWN: Tiga sekeluarga di Changkat Delima,Gelugor di sini berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang awal pagi Ahad. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pada kejadian pukul 4.35 pagi itu, perompak masuk menerusi tingkap belakang dapur rumah teres dua tingkat itu. 

Mereka mengikat tuan rumah, seorang jurutera berusia 39, bersama isteri dan anak perempuannya sebelum mengumpulkan mereka dalam sebuah bilik. 

"Suspek dipercayai warga Indonesia dan tiada sebarang kesan cap jari ditemui kerana kesemua mereka memakai sarung tangan ketika melakukan jenayah itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata suspek kemudiannya melarikan kad kredit, kad debit, tiga jam berjenama, telefon bimbit, iPad, komputer riba, wang tunai yang kesemuanya dianggar melebihi RM8,000.

Lokasi kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan polis telah menghantar unit anjing pengesan K9 untuk mengesan arah suspek melarikan diri, kata Mior Faridalathrash. 

Beliau berkata pihaknya sedang cuba mendapatkan rakaman CCTV dari rumah berdekatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. 

rompak, parang

Artikel Lain