THE HAGUE: Penyiasat nahas udara Belanda pada Isnin berkata mereka menjangka dapat mendedahkan laporan awal berhubung nahas MH17 di ruang udara Ukraine yang mengakibatkan kehilangan 298 nyawa 'dalam tempoh beberapa minggu' lagi. Terdapat 193 rakyat Belanda di atas pesawat Boeing 777 apabila ia meletup di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan Belanda telah bertanggungjawab dalam mengenal pasti mangsa dan menyelesaikan punca nahas. Barat menuduh pemisah pro-Rusia menembak jatuh pesawat dengan peluru berpandu yang dibekalkan oleh Rusia. Moscow pula menuduh Ukraine menembak jatuh pesawat tersebut. "Kami mempunyai maklumat yang cukup untuk menyusun laporan awal," kata jurucakap Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) Wim van der Weegen. "Kami berharap ia akan siap dalam beberapa minggu," katanya kepada AFP, sambil mengumumkan bahawa penyiasat-penyiasat nahas antarabangsa itu kini telah kembali ke Belanda tanpa melawat lokasi kemalangan. "Dalam usaha untuk menganalisis maklumat ...tidak penting untuk terus berada di Ukraine," kata Van der Weegen kepada AFP, sambil berkata pasukan itu kini akan berpangkalan di The Hague. Pakar nahas udara Ukraine, yang mengambil bahagian dalam siasatan antarabangsa ini telah berada di lokasi nahas sejurus selepas kejadian, sebelum Belanda telah ditugaskan untuk mengetuai siasatan itu, kata Van der Weegen. Keadaan keselamatan yang semakin merosot menghalang penyiasat kemalangan di bawah kepimpinan OVV ini daripada sampai ke kawasan terpencil nahas, walaupun pakar forensik Belanda, Australia dan Malaysia tiba ke kawasan itu untuk mencari bahagian-bahagian anggota badan dan barang-barang peribadi. "Sejak kita mengambil alih siasatan, tidak ada peluang baru untuk kita sampai ke lokasi kemalangan," kata Van der Weegen. OVV berkata dalam satu kenyataan bahawa ia hanya menyiasat punca penerbangan MH17 terhempas, bukan siapa bertanggungjawab melakukannya. Perdana Menteri Belanda Mark Rutte Rabu lepas membatalkan usaha mencari mayat dan bahagian-bahagian anggota badan akibat pertempuran antara Kiev dan pemisah pro-Rusia. Van der Weegen berkata terdapat sumber-sumber yang mencukupi termasuk perakam suara kokpit, perakam data penerbangan (kotak hitam), butir-butir dan maklumat radar daripada pengawal trafik udara. "Kami mempunyai maklumat yang cukup (untuk laporan awal), tetapi kami ingin untuk kembali ke lokasi kemalangan untuk mengesahkan beberapa penemuan kami dan mendapatkan maklumat tambahan," katanya.