suria

Rangka Strategi Tadbir Selangor Tanpa DAP, PKR - Exco PAS

Ahmad Yunus
SHAH ALAM: Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi mengesahkan telah mengadakan pertemuan singkat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di pejabatnya.

Dalam pertemuan tersebut, Ahmad Yunus berkata, mereka membincangkan mengenai strategi dalam menguruskan pentadbiran Selangor tanpa exco DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita nak lihat bagaimana exco yang tidak letak jawatan ini nak bekerja untuk rakyat Selangor," katanya kepada pemberita di Lobi Bangunan SUK di sini, Selasa.

Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang berkata, buat masa ini keempat-empat exco dari PAS akan terus setia bersama Khalid.

Selain Ahmad Yunus, tiga exco yang lain adalah Sallehen Mukhyi (Sabak Bernam), Iskandar Ab Samad (Chempaka), Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Ketika ditanya sama ada terdapat exco yang akan meletak jawatan, Ahmad Yunus berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

"Saya tak tahu (status exco yang lain). Setakat ini exco dari PAS masih menjalankan tugas sebagaimana yang dikehendaki PAS Pusat," katanya.

Ditanya adakah PAS akan menggantikan ahli exco yang meletak jawatan, Ahmad Yunus berkata, perbincangan belum sampai ke tahap itu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan menghadiri mesyuarat exco yang akan dipengerusikan Khalid di Bangunan SUK di sini, Rabu.

"Esok ada mesyuarat exco. Insya-Allah saya ada," katanya.

Dr Ahmad Yunus Hairi, DAP, PKR, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain