suria

Tian Chua Mengaku Tak Bersalah Sebut Perkataan Aibkan Polis

PETALING JAYA: Anggota Parlimen Batu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebut perkataan yang mengaibkan seorang pegawai polis.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, didakwa menyebut perkataan tersebut kepada pegawai polis Petaling Jaya, DSP Glenn A. Sinappah bertujuan mengaibkan kehormatannya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada, pukul 7.45 malam, 14 April lalu.

Tian Chua didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira faktor kedudukan dan kewangan tertuduh.

Peguam Michelle Yesudas yang mewakili Tian Chua memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM500 atas alasan jaminan hanya bertujuan memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah pada tarikh akan datang.

"Anak guam saya juga menghadapi kes-kes lain yang masih belum selesai di Mahkamah Jalan Duta (Kuala Lumpur)," katanya.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan Tian Chua dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula. Tian Chua membayar jaminan itu.


Artikel Lain