suria

Penguat Kuasa SPAD Diugut, 'Dilarikan' Pemandu 'Prebet Sapu'

RAWANG: Dua anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diugut dan 'dilarikan' pemandu 'prebet sapu' yang berang kerana kegiatannya di sekitar Rawang dikesan pihak berkuasa itu.

Kejadian itu berlaku sebaik kedua pegawai terbabit memperkenalkan diri dan memaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan kerana memberi khidmat teksi secara haram.

Salah seorang penguat kuasa berkenaan, Mohd Hafezffuddin Mohd Apandi, 26, ketika dihubungi mStar Online berkongsi pengalamannya bersama rakan setugasnya, Nor Azean Hashim, 26, ketika diugut dan dibawa 'lari' melalui sebuah kampung selama hampir 10 minit.

"Pemandu itu ugut kami dan kata 'jangan main gila, aku nak bawa gi port aku' sambil beritahu dia pernah berulang kali masuk penjara.

"Demi keselamatan, kami cuba memujuk dia untuk menurunkan kami di sebuah stesen minyak. Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit dia menurunkan kami di tepi jalan berdekatan sebelum memecut kenderaannya," katanya.

Tambah Mohd Hafezffuddin, lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 50an, berbadan tegap dan berkulit gelap itu turut mendakwa dirinya adalah bekas tentera.

"Kami bagaimanapun sempat mendapatkan nombor plat pendaftaran kenderaannya dan membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kejadian itu berlaku ketika dua pegawai berkenaan terbabit dalam Ops Tegas pada Selasa.

Katanya, ketika kejadian dua pegawai berkenaan melakukan penyamaran sebagai penumpang dalam operasi penguatkuasaan dari Stesen KTM Rawang ke Taman PKNS di sini.

Che Hasni berkata, kedua-dua anggota penguat kuasa berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rawang di sini.

Mengenai Ops Tegas pada Selasa, katanya, operasi yang bermula dari pukul 3.30 petang dan membabitkan 54 anggota merekodkan 11 kes iaitu lapan pemandu teksi tidak menggunakan meter, dua prebet sapu dan satu kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Bagi kesalahan tidak menggunakan meter mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika didapati bersalah akan didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM500,000, atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan teksi sapu, kita akan dakwa mengikut Seksyen 16, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 dan keretanya akan dilucutkan (hak)," kata Che Hasni.

Beliau berkata, sejak Ops Tegas dilancarkan Jun 2011 sehingga Julai tahun ini, sebanyak 6,079 kesalahan direkodkan membabitkan pemandu teksi.

SPAD, ugut, prebet sapu

Artikel Lain