suria

Isu MB: Adun DAP Kecewa PAS Hadir Mesyuarat Exco

SHAH ALAM: Exco DAP, Ean Yong Hian Wah mendakwa kecewa terhadap tindakan empat Exco PAS yang tidak patuh kepada gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu mesyuarat Exco pada Rabu diboikot.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram itu yang dipecat itu berkata, tindakan tersebut menunjukkan Exco PAS tidak mempunyai semangat kesepakatan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya kecewa dengan PAS (empat exco) kerana mereka masuk mesyuarat exco hari ini.

"Ini jelas menunjukkan mereka tidak ada semangat bersatu dalam Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita sebaik tiba di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pagi Rabu.

Malah, Ean turut menggesa satu mesyuarat khas diadakan antara ketiga-tiga parti dengan segera bagi membincangkan tindakan semua Exco PAS yang enggan memboikot mesyuarat tersebut.

Dalam sidang media tergempar malam Selasa, Guan Eng menggesa semua Exco PAS supaya memboikot mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lim berkata, permintaan itu dibuat bagi menunjukkan bantahan dan solidariti Pakatan Rakyat terhadap tindakan Khalid memecat enam Exco PKR dan DAP pada Selasa.

"PKR dan DAP merasakan pemecatan ini tidak beretika, tidak menghormati prinsip dan semangat demokrasi yang membelakangkan rakyat yang memberi mandat," kata Lim.

Sementara itu, Exco PKR, Elizabeth Wong tiba di perkarangan Bangunan SUK kira-kira pukul 10.30 pagi untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.

"Pagi ini, kelima-lima Exco akan berada di bangunan ini untuk meneruskan kerja seperi biasa.

"Cuma kami tak masuk mesyuarat Exco. Kami menasihatkan rakan-rakan dari PAS untuk tidak hadir mesyuarat itu," katanya.

Jelas Elizabeth, kelima-lima exco yang dipecat itu akan mengadakan sidang media khas berhubung isu pemecatan mereka di sini.

DAP, PKR, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain